Our School


SEKILAS PANDANG – PENUBUHAN KNOWLEDGE GARDEN LEARNING CENTRE (KGLC)

Orang pelarian Rohingya (Myanmar) tidak mempunyai dokumen sah disisi undang-undang Malaysia. Kebanyakan orang pelarian Rohingya sudah berdaftar dengan UNHCR dan membolehkan mereka mendapatkan bantuan kewangan dan akses perubatan di hospital dan pusat perubatan kerajaan dengan kadar separuh harga. Namun, masih terdapat sebahagian yang masih belum berdaftar dan ini menjadikan mereka hidup dalam keadaan terumbang-ambing.

Dari aspek pendidikan, khususnya kanak-kanak orang pelarian Rohingya masih berada dalam keadaan daif. Kanak-kanak Rohingya tidak mempunyai akses pendidikan secara formal atau di sekolah-sekolah kerajaan. Ibu-bapa Rohingya juga tidak mampu untuk menghantar anak-anak mereka untuk belajar di sekolah-sekolah swasta dan antarabangsa kerana kadar bayaran yang tinggi. UNHCR dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuka dan menawarkan sekolah alternatif atau pusat pembelajatan, namun ia amat terhad. Tidak semua anak-anak Rohingya dapat dimasukkan ke sekolah-sekolah tersebut akibat beberapa faktor seperti jarak sekolah yang jauh dari kawasan penempatan mereka serta fasiliti yang terhad.   

Akibatnya, ramai anak-anak Rohingya yang tidak mempunyai akses pendidikan serta peluang untuk menikmati suasana pembelajaran seperti yang dinikmati oleh kanak-kanak seusia mereka. Malah, kebanyakan kanak-kanak ini masih tidak dapat menguasai pendidikan asas 3M (membaca, menulis dan mengira) dan ini sangat membimbangkan.

Pendidikan merupakan gerbang yang perlu dimanfaatkan oleh generasi muda orang pelarian Rohingya agar dapat keluar daripada dilema dan kesengsaraan yang dihadapi etnik Rohingya sejak berpuluh-puluh tahun. Dengan pendidikan, generasi muda Rohingya boleh mengimpikan dan menikmati apa yang dipanggil ‘penyelesaian berpanjangan’ yang sebenar.

Menyedari hakikat ini, Ethnic Rohingya Committee of Arakan Malaysia (ERCAM) berhasrat untuk menubuhkan sebuah pusat pembelajaran bagi kanak-kanak Rohingya khususnya di kawasan sekitar Seri Kembangan, Selangor. Selepas beberapa siri perbincangan dengan sokongan individu-individu serta NGO tertentu, ERCAM akhirnya berjaya menjayakan hasrat tersebut. Alhamdulillah, sebuah pusat pembelajaran telah berjaya dijalankan dengan nama Knowledge Garden Learning Centre (KGLC)  



JAWATANKUASA KGLC-ERCAM

Knowledge Garden Learning Centre (KGLC) merupakan sebuah pusat pembelajaran dibawah kelolaan ERCAM. Untuk melicinkan perjalanan dan pentadbiran pusat pembelajaran tersebut, sebuah jawatankuasa yang diwakili oleh ahli jawatankuasa ERCAM sendiri telah ditubuhkan pada Januari 2013.


  PUSAT PEMBELAJARAN KNOWLEDGE GARDEN & PELAJAR

KGLC terletak di Seri Kembangan, Selangor dan bersebelahan dengan pejabat ERCAM. KGLC mempunyai kawasan persekitaran yang tenang dan mempunyai ruangan legar yang boleh dimanfaatkan oleh pelajar-pelajar untuk aktiviti luar dan riadah.

Alamat penuh KGL seperti yang tertera di bawah:

Lot 001, Jalan Raya 3, Sri Serdang, 43300, Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan.

Kini KGLC mempunyai dua orang tenaga pengajar. Tenaga pengajar pertama memberi tumpuan kepada subjek-subjek teras akademik seperti pengajaran mata pelajaran Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa Inggeris. Sementara tenaga pengajar kedua memberi tumpuan kepada pengajaran berkaitan agama. Buat masa ini, KGLC tidak mengikut standard pengajaran dan pembelajaran formal seperti yang ada di sekolah-sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan mahupun sekolah alternatif lain akibat kekurangan sumber buku rujukan/teks, bilangan tenaga pengajar dan fasiliti awam lain.

KGLC kini mempunyai pelajar seramai 32 kanak-kanak Rohingya yang dipimpin oleh dua orang tenaga pengajar dan sokongan oleh jawatankuasa KGLC. Tidak semua pelajar tinggal disekitar Seri Kembangan. Terdapat sebahagian pelajar yang tinggal dengan ibu-bapa mereka di sekitar Kajang dan Serdang. Kesemua kanak-kanak ini tidak mempunyai akses pembelajaran dikawasan sekitar mereka. Oleh itu, jawatankuasa memutuskan untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada pelajar-pelajar yang tinggal luar Seri Kembangan bagi membolehkan mereka mengikuti sesi pembelajaran yang diinisiatifkan oleh KGLC.

Sehingga hari ini, tiada kadar khusus dikenakan untuk menghantar kanak-kanak Rohingya untuk menghadiri sesi pembelajaran di KGLC. Namun, memandangkan pusat pembelajaran ini baru dibuka dan memerlukan dana awal untuk menampung perbelanjaan, ibu-bapa secara sukarela membayar berdasarkan kemampuan mereka.


Lihat statistik pelajar Rohingya di bawah untuk maklumat lanjut.


 

              

KEWANGAN & SUMBANGAN

Sehingga hari ini, KGLC tidak menerima sumbangan khusus berbentuk kewangan bagi menampung perbelanjaan KGLC daripada mana-mana agensi kerajaan dan NGO. Sumber kewangan bagi operasi permulaan KGLC berdasarkan sumbangan dan wang pendahuluan yang diperolehi dari ahli ERCAM dan individu-individu tertentu secara one-off.   

ERCAM dan jawatankuasa KGLC bergiat aktif mencari inisiatif untuk mendapatkan sumbangan daripada agensi-agensi kerajaan, pertubuhan kebajikan keagamaan, pihak swasta dan korporat serta NGO untuk meringankan beban kewangan yang ditanggung pihak pengurusan KGLC dan ibu-bapa pelajar.

Di bawah adalah tentatif (anggaran) perbelanjaan bulanan bagi pengurusan KGLC secara asas (basic estimate). Bagaimanapun, anggaran tersebut berubah mengikut bilangan pelajar yang dijangka meningkat dari semasa ke semasa.  

Anggaran Perbelanjaan Berterusan (bulanan)

Bil.
Perkara
Penjelasan
Jumlah (RM)
1
Sewa bulanan sekolah
I unit bilik
700.00
2
Gaji bulanan tenaga pengajar
        1 guru
        1 guru agama
1,600.00
3
Pengangkutan (bulanan)
        1 pemandu
         Petrol (Kajang-Seri Kembangan)
         Sewa kereta
1,600.00
4
Penyediaan Makanan bagi pelajar
Sarapan pagi (sahaja)

800.00
5
Logistik
        Termasuk upah pembersihan sekolah
250.00
6
Jumlah

4,950.00

KGLC juga berterima kasih kepada pihak UNHCR dan NGO serta individu-individu tertentu yang membantu dalam pemberian sumbangan yang berbentuk bukan kewangan seperti peralatan persekolahan (buku, bag, buku teks, peralatan menulis dan sebagainya).

Kami amat menitikberatkan soal ‘ketelusan’ dan ‘kebertanggungjawaban’ dalam menguruskan dana dan sumbangan awam. Oleh itu, kami kini sedang mengemas kini dan memperbaiki sistem pengurusan dan laporan kewangan bulanan yang akan membolehkan orang awam atau mana-mana institusi untuk mengakses laporan kewangan.




BAGAIMANA ANDA BOLEH MEMBANTU?

Seperti yang telah dijelaskan, KGLC masih belum menerima sumbangan kewangan dari mana-mana institusi untuk menampung perbelanjaan (berdasarkan anggaran bulanan) serta kemungkinan kenaikan kos perbelanjaan bergantung bilangan pelajar. KGLC sedang mengemaskini maklumat dan pengurusan pusat pembelajaran untuk tujuan mendapatkan dana. Sementara itu, pusat pembelajaran KGLC perlu terus berjalan bagi membolehkan kanak-kanak Rohingya menghadiri sesi pembelajaran.

Untuk menampung perbelanjaan (interim) ini, pihak KGLC mengalu-alukan sumbangan dari orang awam (secara individu) atau mana-mana organisasi yang prihatin untuk membantu mengurangkan beban yang ditanggung.

Pihak kami juga mengalu-alukan sumbangan yang bukan berbentuk kewangan seperti peralatan sekolah, pakaian dan barang-barang asas. Pihak KGLC juga mengalu-alukan sukarelawan untuk menjadi tenaga pengajar atau apa juga peranan yang dirasakan perlu di pusat pembelajaran kami.

Pihak KGLC menyediakan beberapa cara bagi memudahkan anda membuat sumbangan.

Comments

Popular posts from this blog

Rohingya want killers punished

The Rohingya crisis in Burma has become “a protracted, squalid, stateless status-quo”